Lelaki warga emas ditemukan lemas di tasik

Bernama
Jun 24, 2024 23:42 MYT
Muhammad Izwan Arief berkata 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jasin dan Melaka Tengah digerakkan ke lokasi pada 7 malam bagi operasi mencari dan menyelamat. - Gambar JBPM Melaka
MELAKA: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai mengalami kemurungan ditemukan lemas di Tasik Biru, Chin Chin, Jasin malam ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata mayat Jamaludin Bon Abdul Hamid, 68, ditemukan terapung di tasik berkenaan kira-kira 9.18 malam oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan orang kampung.
"Mangsa dikatakan keluar rumah pada 9 pagi tadi namun didapati tidak pulang ke rumah oleh keluarganya.
"Polis bersama orang kampung kemudian melakukan pencarian dan menemukan motosikal serta selipar mangsa di tepi tasik pada 7 malam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jasin dan Melaka Tengah digerakkan ke lokasi pada 7 malam bagi operasi mencari dan menyelamat.
-- BERNAMA
#warga emas #lemas #PPDA #melakukan pencarian
;