Lelaki warga emas dikhuatiri lemas, ditemukan maut di Jeti Bagan Datuk

Aida Aziz
Januari 4, 2023 11:50 MYT
Anggota dari BBP Hutan Melintang dan PPDA dari BBP Teluk Intan digerakkan untuk operasi pencarian mangsa yang dipercayai terjun ke dalam laut malam tadi. - Foto JBPM Perak
HUTAN MELINTANG: Seorang warga emas yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam laut di Jeti Bagan Datuk, malam tadi, ditemukan maut hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, lelaki berusia 72 tahun itu ditemui oleh nelayan pada jam 9.40 pagi, kira-kira 3.5 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai terjun.
"Menurut maklumat daripada orang awam, terdapat seorang lelaki dipercayai terjun ke dalam laut di jeti tersebut malam tadi.
"Mangsa juga telah meninggalkan barangan peribadi di jeti tersebut.
"Operasi mencari diteruskan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang pada jam 8.30 pagi ini dengan radius pencarian dalam jarak 3km dari lokasi mangsa dipercayai terjun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan telah digerakkan bagi membantu operasi pencarian.
"Mangsa ditemui oleh nelayan pada 9.40 pagi tadi dalam jarak 3.5km dari lokasi mangsa terjun," katanya.
Menurutnya, anggota bomba menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai PPgB Asmahisham Ab Aziz itu tamat pada jam 10.15 pagi.
#warga emas #terjun dalam laut #Jeti Bagan Datuk #nelayan
;