Lelaki warga AS didakwa hasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di Langkawi

Adie Sufian Zulkefli
Mac 5, 2024 18:30 MYT
Tertuduh, David Matthew Frahm dibawa ke Mahkamah Sesyen Langkawi bagi menghadapi pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada awal Februari lalu. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada awal Februari lalu.
Tertuduh, David Matthew Frahm, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Helmi Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbabit di sebuah kediaman di Jalan Seri Legenda di sini kira-kira jam 3.30 petang pada 1 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Cheow Wee dan Alvin Lau.
Pendakwaan turut meminta mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes berkenaan adalah serius dan membabitkan kanak-kanak bawah umur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu dalam satu kes berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan tinggal melebihi masa ditetapkan di negara ini.
Frahm membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Natasya Rizal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa tinggal di negara ini selama 1,380 hari melebihi masa yang dibenarkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Februari lalu, pada jam 7.10 malam di Chogm Villa, Jalan Seri Lagenda, Mukim Kuah di sini.
Tertuduh didakwa telah melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#warga Amerika Syarikat #bahan penganiayaan seksual terhadap seorang kanak-kanak #Matthew Frahm #kesalahan seksual #Langkawi
;