Lelaki warga China lemas jatuh dari tongkang besi

Bernama
Jun 2, 2024 13:34 MYT
Mohd Hairi berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian. - Gambar JBPM Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Seorang pekerja warga China ditemukan lemas selepas terjatuh dari tongkang besi ketika menjalankan kerja-kerja di laut dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Tikus, di sini hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Hairi Fazzil berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.14 pagi memaklumkan seorang lelaki Miao Baddong, 52, dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika menjalankan kerja-kerja di atas tongkang besi.
"Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal yang tiba di tempat kejadian terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan menggunakan sebuah bot.
"Operasi SAR itu turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM dan beberapa agensi lain sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira 2.54 petang hari ini di kawasan Pulau Andaman, Tanjung Tokong di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.
-- BERNAMA
#PPDA #JBPM #tongkang besi #panggilan kecemasan