Lelaki warga China ditemui lemas
Nur Fazlizai Ali
Mei 6, 2022 08:00 MYT
Mei 6, 2022 08:00 MYT
KEMAMAN: Seorang lelaki warga China ditemukan lemas selepas mandi di pantai Teluk Kalong, di sini bersama tujuh rakannya pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.52 petang, sepasukan anggota dan pegawai bersama dua jentera dari BBP Chukai digerakkan ke lokasi.
Menurut Mohd Zailani, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu dua daripada mereka telah dihanyutkan arus, sebelum seorang daripadanya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.
Manakala seorang lagi mangsa, Cui Qiuming, 35, ditemui kira-kira jam 7.30 petang pada kedudukan dianggarkan 100 meter dari pantai oleh nelayan.
Mohd Zailani berkata mangsa kemudiannya dibawa ke pantai dan diberi rawatan awal oleh pihak bomba bersama seorang doktor yang secara kebetulan berada di tempat kejadian.
Bagaimanapun Cui Qiuming telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.