Lelaki warga Brunei dikhuatiri lemas dalam sungai di Limbang
Angelina Sinyang
Disember 25, 2019 09:07 MYT
Disember 25, 2019 09:07 MYT
"Aku tidak dapat sudah."
Itu antara kata-kata akhir Steven Sawi, 23 tahun, kepada bapa mentuanya sebelum dia hilang dari pandangan dan dipercayai lemas di Sungai Pandaruan, Jalan Kubong, di sini pada Selasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, pihak bomba menerima laporan kejadian sekitar jam 6.38 petang dan terus menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi kejadian.
Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai telah berenang secara bersendirian dari arah tebing bahagian negara Brunei untuk menyeberang ke tebing bahagian Limbang.
Selepas berenang lebih kurang jarak enam meter, mangsa sempat memberitahu bapa mentua yang berada di sebelah tebing kawasan Limbang bahawa dia tidak mampu lagi untuk berenang, sebelum tenggelam.
Sebaik sampai di lokasi, pihak bomba, anggota polis, termasuk orang kampung, telah membuat pencarian di tebing sungai menggunakan lampu suluh, dengan berjalan kaki.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa mengalami sedikit kesulitan memandangkan keadaan cuaca hujan, gelap, arus deras dan kehadiran binatang buas dalam sungai tersebut.
Selain itu, lokasi mangsa yang dikhuatiri lemas berada dalam kawasan negara Brunei.
Sehubungan itu, pihak Balai Polis Bangar, Brunei, telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.
Hasil perbincangan bersama pihak polis, bomba dan ahli keluarga, operasi SAR ditangguhkan pada jam 10.57 malam tadi dan disambung hari ini.