Lelaki warga Bangladesh ditahan bunuh, tanam rakan serumah

Sinar Harian
Julai 22, 2021 10:04 MYT
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut. -Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Gara-gara perselisihan faham, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup membunuh rakan sekerjanya sebelum menanam mangsa di tempat tinggal mereka di tapak pembinaan sebuah rumah banglo di Taman Mutiara Galla di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian yang berlaku pada 13 Julai itu terbongkar jam 6.30 petang Rabu selepas majikannya mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan.
"Ketiadaan mangsa lelaki berusia 30 tahun yang juga warga Bangladesh di tempat kerja dalam tempoh lama menimbulkan tanda tanda majikannya yang kemudian telah bertanya lebih lanjut kepada suspek.
"Suspek berusia 29 tahun yang tinggal bersama mangsa cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan majikannya yang kemudian membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar di lokasi pada Rabu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah membunuh mangsa sebelum menanamnya di tempat tinggal mereka iaitu di rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit.
Beliau berkata, perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara suspek dan mangsa yang telah tinggal bersama sejak sebulan lalu.
"Suspek dikatakan telah memukul mangsa menggunakan kayu sebelum menanam mayatnya di kawasan tempat tinggal mereka.
"Suspek juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa, " katanya.
Ujarnya, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel asal di Sinar Harian: Bunuh, tanam mayat rakan di rumah kongsi
Jenayah | Bunuh, tanam mayat rakan di rumah kongsi
#Bangladesh #bunuh rakan #Perselisihan Faham #tapak pembinaan #rumah banglo #Taman Mutiara Galla #pukul mangsa
;