Lelaki warga asing rentung, rakan terselamat
Sinar Harian
September 26, 2023 19:03 MYT
September 26, 2023 19:03 MYT
SEREMBAN: Seorang lelaki warga asing ditemui rentung manakala rakannya terselamat selepas rumah kedai yang dihuni di Dataran Millenia, Lobak, di sini, terbakar awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, menerima maklumat berhubung kebakaran penempatan pekerja warga asing di lokasi pada jam 4.58 pagi.
"Bomba berjaya memadamkan api dan menyelamatkan seorang lelaki dipercayai warga asing berusia 45 tahun.
"Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati seorang lelaki warga asing berusia 50 tahun meninggal dunia di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Arifai berkata, siasatan awal mendapati si mati adalah pekerja di Pasar Besar Seremban dan pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.
"Bedah siasat sudah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan punca kematian disahkan akibat tersedut asap. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Jelas beliau, sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian