Lelaki warga asing lemas ketika jala ikan
Sinar Harian
Mei 29, 2022 04:04 MYT
Mei 29, 2022 04:04 MYT
GOMBAK: Seorang lelaki warga asing ditemukan lemas ketika menjala ikan di Kampung Kerdas 5 Batu 6, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.58 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 37 tahun bersama adiknya ke lokasi kejadian jam 12 tengah hari.
"Dua beradik itu telah berjalan kaki ke Gombak Barrage (Tandop) untuk menuruni sungai dan telah terjatuh di dalam pusaran air.
"Keadaan air yang deras telah menyebabkan si mati lemas manakala adiknya berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berdekatan lokasi dengan menggunakan tali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui terdampar di atas batu oleh penduduk kampung sekitar 300 meter dari lokasi kejadian.
Tambahnya, pemeriksaan fizikal pada badan si mati mendapati terdapat kesan lebam pada dahi namun tiada kesan kecederaan lain pada tubuhnya.
"Mayat si mati telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diketahui," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian.