Lelaki warga asing ditahan tipu loteri
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 14, 2022 09:40 MYT
Julai 14, 2022 09:40 MYT
KOTA TINGGI: Menang tiket loteri awam tetapi kononnya tidak dapat menebus hadiah kemenangan kerana tiada dokumen pengenalan diri.
Itu modus operandi lelaki warga asing yang ditahan polis selepas disyaki membuat penipuan berhubung loteri yang disyaki palsu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan dalam kejadian kira-kira jam 2 petang oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Dia terlebih dahulu ditahan dengan bantuan orang awam di Bandar Kota Tinggi, di sini.
"Orang ramai menahan suspek yang ketika itu cuba menipu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun dengan menawarkan 'tiket Toto' yang kononnya menunjukkan dia menang hadiah wang tunai.
"Modus operandi suspek dijalankan bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.
"Suspek akan meyakinkan mangsa untuk membeli tiket loteri yang ditawarkan dengan harga tertentu.
"Mangsa yang disasarkan kebanyakannya adalah warga emas yang hanya sedar mereka ditipu apabila cubaan menebus tiket hadiah di kedai loteri gagal," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Hussin, polis turut merampas sebuah kereta, empat keping tiket loteri awam yang disyaki palsu dan sebuah telefon pintar ketika tangkapan dibuat.
"Kita masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat memaparkan seorang lelaki duduk di tepi jalan selepas ditahan orang awam.
Lelaki itu kemudian dibawa menaiki kenderaan polis.