Lelaki warga asing dipenjara lima bulan miliki kad pengenalan palsu
Petrus Bernard
Oktober 16, 2021 12:00 MYT
Oktober 16, 2021 12:00 MYT
TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Hermansyah Samijan, 52 tahun, mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mengikut pertuduhan, Hermansyah ditahan pada jam 11.50 pagi di Kilang Ais Batu Perikanan Tawau, dekat Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada 13 Okt lalu.
Hasil pemeriksaan, tertuduh didapati memiliki kad pengenalan yang disyaki palsu atas nama Herman Shah Sawijan.
Majistret menjatuhkan hukuman lima bulan penjara ke atas tertuduh dan mengarahkannya menjalani hukuman tersebut bermula Jumaat.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Nurul Fariza Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.