Lelaki 'wanted' ditahan selepas buat laporan kes jenayah

Bernama
Jun 24, 2024 19:20 MYT
Lelaki terbabit akan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.
KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis berkait kes penipuan 'love scam' ditahan selepas hadir ke Balai Polis Pengkalan Chepa di sini untuk membuat laporan berhubung kes jenayah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan selepas polis melakukan semakan nombor kad pengenalannya yang didapati memiliki tiga rekod lampau.
Beliau berkata kesalahan itu melibatkan kes penipuan dan mencuri kenderaan yang dilaporkan di Kuantan, Pahang.
"Suspek ialah orang yang amat dikehendaki berkait kes love scam di laman Facebook pada 2018 yang melibatkan kerugian berjumlah RM16,650," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lelaki terbabit akan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#wanted #love scam #laporan polis #Kelantan
;