Lelaki Vietnam ditahan ugut mahu bunuh pekerja Nepal jika pergi kerja
Bernama
Julai 11, 2018 04:52 MYT
Julai 11, 2018 04:52 MYT
Polis menahan seorang lelaki warga Vietnam yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang kayu di Pongsu Seribu, di sini selepas dia mengugut mahu membunuh empat lelaki Nepal jika mereka pergi bekerja di kilang berkenaan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki Vietnam berusia 26 tahun itu ditahan di asrama kilang berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang selepas empat pekerja Nepal berkenaan membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima mereka.
"Pekerja Nepal itu membuat laporan polis selepas penyelianya (lelaki Vietnam) datang kepada mereka pagi semalam dalam keadaan marah.
"Lelaki Vietnam itu turut memaksa pekerja Nepal dan tiga lagi rakan senegaranya supaya tidak bekerja serta mengugut akan membunuh mereka sekiranya mereka pergi bekerja di kilang itu," katanya di sini pada Rabu.
Katanya berikutan takut dengan ugutan suspek, mereka tidak pergi ke kilang untuk bekerja dan perkara itu diketahui majikan mereka sebelum mengarahkan mangsa membuat laporan polis.
Noorzainy berkata siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tertekan ekoran selalu dimarahi majikannya berikutan tidak melakukan kerja dengan betul.
Katanya susulan penahanan lelaki itu, polis merampas satu laras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam, satu bilah parang buatan sendiri warna kelabu, satu bungkusan plastik warna hijau yang mengandungi segumpal bearing bebola besi dan satu botol kaca jenama spirit 88 mengandungi cecair spirit dalam bilik asrama suspek.
"Difahamkan senapang angin berkenaan digunakan untuk memburu binatang seperti monyet di kawasan hutan berhampiran. Dia kini direman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah), Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis sedang mengesan dua lelaki geng samun bersenjata kerana terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar daerah SPT.
"Dua lelaki berusia 20-an itu dipercayai terlibat lebih 10 kes samun dan pecah rumah sejak bulan lepas dan terbaharu mereka menyamun seorang lelaki berusia 53 tahun di hadapan pasar mini di Taman Selamat sebelum melarikan wang tunai RM50 dan telefon bimbit mangsa," katanya.
Beiau berkata suspek menggunakan parang dan batang besi untuk menakutkan mangsa dan mereka akan bertindak mencederakan mangsa jika melawan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
-- BERNAMA
#asrama
#kilang kayu
#laporan polis
#majikan
#Nepal
#Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid
#Noorzainy Mohd Noor
#parang
#pecah rumah
#penyelia
#polis
#Pongsu Seribu
#reman
#samun
#Seberang Perai
#senapang
#senjata
#spirit
#suspek
#ugut
#Vietnam