Lelaki ugut tetak ibu didenda RM6,000

Bernama
April 21, 2019 21:33 MYT
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana sudah insaf dengan kesalahannya. - Gambar hiasan
Gara-gara mengugut mahu menetak ibunya dengan sabit kerana berang disediakan ayam goreng yang masih mentah, seorang lelaki didenda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Mohd Helmi Mohamed, 33, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut. Difahamkan tertuduh tidak membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Helmi didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59, dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang di sini pada pukul 5 petang, 14 April 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana sudah insaf dengan kesalahannya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
-- BERNAMA
#Ayam Goreng #ibu #insaf #Mahkamah Majistret #mengaku bersalah #mentah #sabit #Tetak
;