Lelaki turunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara adalah ejen pemantau parti - Polis
Bernama
November 11, 2022 07:15 MYT
November 11, 2022 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan lelaki yang menurunkan bendera parti Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara dalam sebuah video tular di media sosial adalah ejen pemantau PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata tindakan lelaki tersebut adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP-KPR Parlimen Lembah Pantai.
"Arahan tersebut dikeluarkan setelah perbincangan dibuat dengan wakil calon Parlimen Lembah Pantai kerana pemasangan bendera tersebut telah menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video atau maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.
Amihizam berkata orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan sepanjang berkempen.
Semalam, tular satu video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki menurunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara. Tindakan lelaki tersebut telah dirakam seorang individu yang selepas itu memuat naik ke media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu berbuat demikian.
-- BERNAMA