Lelaki tunggang motosikal sambil acu pistol tiruan ditahan

Bernama
Julai 18, 2024 12:58 MYT
Azli berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang videonya tular di media sosial ditahan di Kampung Ladang Sehat pada 1.30 tengah hari tadi. - Gambar Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal sambil memegang sebuah objek menyerupai pistol di sekitar Bukit Besar di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang videonya tular di media sosial ditahan di Kampung Ladang Sehat pada 1.30 tengah hari tadi.
"Polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan berwarna hitam bercetak De In Israel, sebuah motosikal jenis Honda C70 dan pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian.
"Hasil soal siasat, lelaki yang berasal dari Ranau, Sabah itu mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat. Suspek memaklumkan pistol tersebut diambil di dalam tong sampah berhampiran bulatan Ladang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pembantu kedai makan itu juga positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.
Menerusi sebuah video berdurasi 22 saat, seorang lelaki dilihat menunggang motosikal secara merbahaya di persimpangan lampu isyarat sambil mengacu sebuah objek berupa pistol terhadap pemandu di sekitarnya.
-- BERNAMA
#media sosial #motosikal #pistol tiruan #tong sampah