Lelaki tumbuk pelajar hingga patah hidung direman sehari

Afiezy Azaman
Mac 15, 2025 11:20 MYT
Polis menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam tadi yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, semalam, direman selama sehari, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof, seramai enam individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.
"Kenyataan enam individu telah dirakam, reman dibenarkan sehari sahaja oleh mahkamah," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian.
Naazron berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan selisih faham semasa memandu di atas jalan antara pengadu dan suspek tersebut.
"Dalam kejadian ini, pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul.
"Siasatan juga mendapati, pengadu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bertindak atas maklumat, beliau berkata, suspek yang merupakan penasihat agensi pelancongan berjaya ditahan pada pukul 9.50 malam bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
#reman #Kajang #lelaki tumbuk pelajar hingga patah hidung #memandu tanpa lesen
;