Lelaki tular tidur bawah landasan LRT dibantu
Sinar Harian
Januari 17, 2022 11:17 MYT
Januari 17, 2022 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di kawasan di ibu kota di sini, bakal dipindahkan ke kediaman lebih selesa.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya segera menemui lelaki terbabit sejurus mendapat maklumat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Rupanya pasukan lain pun ramai ke sana termasuk (pihak) Baitulmal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Pada Ahad, seorang lelaki dikenali sebagai Kasturi dilaporkan tinggal di bawah jambatan LRT akibat tidak mampu untuk membayar sewa rumahnya di Kapar selepas diberhentikan kerja.
Keadaan lokasi di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di kawasan ibu kota yang dijadikan Kasturi sebagai tempat tinggal.
Lebih malang, isteri Kasturi yang dilaporkan sedang sakit tidak dapat untuk meneruskan proses rawatan di hospital kerana masalah kewangan dihadapi keluarga terbabit.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berlanjutan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan sebuah rumah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).
Malah menurutnya, DBKL juga menawarkan peluang kepada Kasturi untuk mengubah kehidupan dengan memulakan perniagaan di dalam kawasan DBKL ketika menemui pemuda terbabit pada Ahad.
"(Bagaimanapun) dia memilih untuk menyewa sebuah rumah di Kapar terletak berdekatan kediaman lamanya dan sewa dibayar oleh Baitulmal. Pasukan saya sedekah sedikit keperluan," tambahnya.
Artikel asal di Sinar Harian