Lelaki tolak isteri jatuh gaung didakwa esok

Sinar Harian
Ogos 15, 2024 03:30 MYT
Lelaki terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan membunuh. - Gambar fail
IPOH: Suspek kes pukul dan tolak isteri ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, Julai lalu akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika mengesahkan perkara itu berkata, lelaki terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 kanun sama kerana cubaan membunuh.
"Permohonan perintah kehadiran (OTP) telah dimohon semalam (Rabu) dan suspek akan diambil dari Penjara Sungai Petani Kedah bagi tujuan pertuduhan esok," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Pertuduhan ke atas penganggur berusia 39 tahun itu dijalankan di Mahkamah Kuala Kangsar.
Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi, 27 Julai lalu, seorang wanita berusia 32 tahun nyaris maut di tangan suami sendiri akibat dipukul, dicekik dan ditolak ke dalam gaung selepas berlaku pertengkaran mulut.
Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik dari gaung ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam sekitar jam 2 petang pada hari sama.
Tangkapan ke atas suspek telah dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah pada 31 Julai lalu selepas terdapat kes melibatkan lelaki itu bersabit mencederakan abang kandung di kawasan pentadbiran polis berkenaan.
Tangkapan semula dibuat polis Gerik dan suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos lalu bagi siasatan lanjut. - Sinar Harian
#tolak isteri #gaung #kes mahkamah #jalan raya gerik-jeli