Lelaki tinggal tunang elak ditahan JPJ di Plaza Tol Jambatan P. Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 26, 2023 12:37 MYT
Pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan pemeriksaan dalam Ops Motosikal Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi. - Gambar ihsan JPJ
GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal tergamak meninggalkan tunangnya yang terjatuh ketika ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di Perai malam Rabu.
Tindakan itu dibuat lelaki berkenaan kerana mahu melarikan diri daripada sekatan jalan raya semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, gadis berusia 20-an tersebut tidak mengalami kecederaan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, insiden itu antara senario yang berlaku apabila beberapa penunggang motosikal cuba melarikan diri pada Ops Motosikal Tahun Baharu Cina 2023 JPJ Pulau Pinang yang berlangsung selama empat hari.
Katanya, penunggang lelaki berkenaan bagaimanapun gagal dikesan selepas dia memecut motosikalnya ke arah Jambatan Pulau Pinang menuju bahagian pulau di negeri itu.
“Kemungkinan penunggang itu tiada lesen memandu atau tiada cukai jalan kerana dia tidak menoleh dan menghentikan motosikal walaupun tunangnya terjatuh.
“Gadis tersebut dipercayai tidak cedera kerana dia kemudiannya hilang melarikan diri ke arah motosikal tunangnya dan kita tidak menahannya kerana dia bukan penunggang,” kata beliau semasa meninjau operasi tersebut semalam.
Pada operasi berkenaan, sebanyak 2,043 buah motosikal diperiksa, manakala 301 saman dikeluarkan selain lebih 24 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Adenan berkata, pihaknya mendapati majoriti penunggang yang dikenakan tindakan oleh pihaknya adalah berkaitan kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan selain pengubahsuaian motosikal.
“Kita dapati bahawa setiap kali operasi, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi dan hampir 100 kes (pada operasi kali ini) adalah kesalahan itu.
“Ini menunjukkan kesedaran penunggang motosikal tentang keperluan lesen memandu masih di tahap rendah,” katanya lagi.
Operasi berkenaan turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
#lelaki tinggal tunang #elak ditahan JPJ #Ops Motosikal Tahun Baharu Cina #Jambatan P Pinang
;