Lelaki tinggal kereta di Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum terjun laut

Dewi Nur Harasha Alias
November 22, 2021 15:02 MYT
Mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur telah meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di atas jambatan itu sekitar pukul 4.40 pagi. - Gambar ihsan MARITIM
GEORGE TOWN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di kilometer 8.5 arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Mangsa, Chow Yarn Wai, 39, dari Kuala Lumpur telah meninggalkan kereta jenis Toyota Prius bersama barangan peribadi di jambatan itu sekitar pukul 4.40 pagi.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed memaklumkan, gerakan mencari mangsa diaktifkan sebaik pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian dari Pusat Kawalan Trafik Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) sudah ditubuhkan berhampiran jambatan kedua dan gerakan mencari masih diteruskan.
"Operasi ini turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Agensi Pertahanan Awam dengan keluasan pencarian adalah 22.42 batu nautika persegi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abd Razak berkata, Maritim Malaysia memandang serius kes sebegini dan berharap masyarakat tidak mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan membuat keputusan yang terburu-buru
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
#Jambatan Kedua Pulau Pinang #terjun laut #tinggal kereta #Jambatan Sultan Abdul Halim Mu adzam Shah
;