Lelaki tikam jiran suami isteri sebab buang barang di Flat Padang Tembak
Dewi Nur Harasha Alias
April 22, 2019 06:00 MYT
April 22, 2019 06:00 MYT
Padah melontar barang ke dalam rumah jiran, sepasang suami isteri yang tinggal di Flat Padang Tembak, Air Itam di sini, cedera parah akibat ditikam dalam pergaduhan pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1 pagi, pasangan yang berusia 40 dan 41 tahun itu ditikam dengan sebilah pisau di bahagian dada, perut dan siku kanan oleh jiran mereka yang berang dengan tindakan pasangan berkenaan.
Suspek yang berusia 45 tahun pula patah hidung, bengkak di mulut dan pipi serta luka di bahagian jari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek memarahi suami isteri yang tinggal di tingkat enam flat berkenaan kerana dikatakan melontar barang masuk ke rumahnya di tingkat lima.
Akibat itu, berlaku pertengkaran mulut di antara mereka dan keadaan bertambah tegang apabila wanita berusia 41 tahun itu, yang tidak dapat mengawal kemarahan, bertindak memukul kepala jirannya itu dengan tin biskut dan menolak ibunya sehingga terjatuh.
Berang dengan tindakan tersebut, suspek yang ketika itu sedang memotong buah, bertindak menikam wanita berkenaan.
Suami wanita itu kemudian bergelut dengan suspek namun turut ditikam di dada dan perut.
Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka sering bergaduh sebelum ini walaupun hanya melibatkan masalah kecil.
Mangsa dilaporkan tidak stabil dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh.
#cedera
#cedera parah ditikam
#Che Zaimani Che Awang
#Flat Padang Tembak
#gaduh
#lelaki
#tembak
#tikam