Lelaki tidak siuman maut selepas terjun dari bangunan IPD Bentong
Bernama
Mac 1, 2014 13:34 MYT
Mac 1, 2014 13:34 MYT
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong gempar selepas seorang lelaki dipercayai tidak siuman bertindak terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata lelaki berumur 44 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dalam kejadian 7.30 malam itu.
Katanya lelaki itu disahkan mati semasa menerima rawatan di Hospital Bentong.
"Lelaki terbabit telah datang ke IPD Bentong dalam keadaan meracau-racau dan membuat kecoh dan tanpa disedari telah naik ke tingkat dua bangunan dan terjun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya motif lelaki terbabit masih dalam siasatan dan polis akan mengambil keterangan keluarganya.
"Siasatan awal polis percaya tiada sebarang unsur jenayah ke atas mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.