Lelaki tidak sedar diri dalam kereta disahkan meninggal dunia

Norfarhiza Mohd Atar
Mei 28, 2022 09:08 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Bandar Raub, Raub, pagi semalam. - Foto ihsan BBP Raub
RAUB: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas dijumpai tidak sedarkan diri di dalam sebuah pacuan empat roda yang diparkir berhadapan premis perniagaan di Bandar Raub di sini pagi semalam.
Mangsa, Liew Yoong Kuang, 47 tahun, dijumpai oleh orang awam yang melalui premis berkenaan sebelum bertindak mengetuk tingkap dan menggoyangkan kenderaan jenis Nissan Navara terbabit.
Kejadian itu disahkan Ketua Zon 3 Bomba Pahang Shahrulnizam Nasir, ketika dihubungi Astro AWANI di sini, semalam.
"Menyedari mangsa tidak memberi respons, orang awam bertindak menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi membuka pintu pacuan empat roda yang terkunci.
"Sebaik menerima maklumat pada jam 9.47pagi, sepasukan lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Shahrulnizam berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dalam pacuan empat roda itu, dengan enjin kenderaan dimatikan.
Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka pintu kenderaan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.
JBPM | Lelaki tidak sedarkan diri dalam kereta disahkan maut
“Setelah operasi membuka pintu berjaya dijalankan, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
#tidak sedarkan diri #meninggal dunia dalam kereta #Raub #pacuan empat roda
;