Lelaki tidak pulang ke rumah ditemui maut kereta terbabas dalam gaung

Sinar Harian
Februari 26, 2024 12:20 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang ditemui maut dalam kenderaannya.
KLUANG: Seorang lelaki yang tidak pulang setelah keluar dari rumah jam 10 malam Sabtu lalu ditemukan maut apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 65, Jalan Yong Peng-Kluang di sini, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 6.40 petang pada Ahad.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan seorang pesara tentera berusia 52 tahun memandu bersendirian dari arah bulatan T6 menghala ke Kluang sebelum hilang kawalan dan terbabas ke gaung di sebelah kanan jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
“Berdasarkan keterangan daripada waris, mangsa keluar dari rumah pada jam 10 malam Sabtu, namun tidak pulang semula dan kemalangan dipercayai berlaku selepas jam 11.30 malam Sabtu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridzuan Mohamad Zait berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 6.33 petang Ahad.
Katanya, sejurus menerima maklumat tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) dengan lapan anggota bomba dihantar ke lokasi.
“Setibanya PKO ke lokasi didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas dan terbalik.
“Terdapat seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan meyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sekitar jam 7.16 malam,” katanya. - Sinar Harian
#kemalangan maut #tikdak pulang ke rumah #lelaki hilang #maut akibat kemalangan
;