Lelaki Thailand didenda RM20,000 miliki minyak masak bersubsidi
Vivi Sumanti
Januari 7, 2020 23:23 MYT
Januari 7, 2020 23:23 MYT
Seorang lelaki Thailand didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, pada Selasa atas tuduhan memiliki minyak masak bersubsidi.
Hakim Mohd Rosli Mohamed Nawi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sam-Un Satae, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Dalam masa sama, pihak mahkamah juga menetapkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu dan kenderaannya dilucut hak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Penolong Pegawai Penguatkuasa Samsul Imran Ibrahim dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan iaitu minyak masak sebanyak 595 kilogram (kg) tanpa lesen barang kawalan, dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, ini adalah kes pertama bagi tahun 2020 yang didakwa oleh pihak KPDNHEP Cawangan Pasir Mas.
"Tertuduh ditahan dalam operasi Barang Kawalan Berjadual antara pihaknya dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Rantau Panjang pada 7.15 malam Sabtu lalu.
“Dia memandu Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand ditahan kerana memiliki minyak masak subsidi seberat 595kg bernilai RM1,487.50 dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.
Kata Azanizam, pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan membabitkan barang kawalan," katanya.
#barangan kawalan
#KPDNHEP
#lelaki Thailand
#mahkamah
#minyak masak bersubsidi
#Pasir Mas
#penjara
#sam-un satae