Lelaki tertua Kampung Bahagia di Kelantan dakwa berusia 120 tahun
Bernama
Februari 19, 2021 15:49 MYT
Februari 19, 2021 15:49 MYT
KUALA KRAI: Pada kad pengenalannya, usia Mamat Mat Ali dari Kampung Bahagia di sini ialah 96 tahun, namun lelaki itu mendakwa dia sebenarnya berumur 120 tahun dan mampu mengingati pengalamannya ketika era penjajahan Jepun di negara ini.
Mesra dengan panggilan Pak Adek, warga emas itu menyifatkan amalannya yang membaca al-Quran setiap hari sebagai penyumbang kepada kesihatannya yang masih baik serta daya ingatan yang kuat, selain menjaga pemakanan dan minuman.
"Saya baca al-Quran setiap hari dan hingga sekarang saya masih mengajar anak-anak di kampung ini mengaji. Saya sudah kurang pendengaran tapi saya tahu kalau ada kesalahan bacaan atau langkau bacaan kerana saya perhatikan mimik dan gerak bibir mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pengasas badan bukan kerajaan Third Force, Raja Shamri Raja Husin, di sini hari ini.
Berkongsi rahsianya, Pak Adek berkata dia turut mengelak pengambilan ais serta mengamalkan pemakanan ulam-ulaman selain banyak berpuasa sunat dan tidur awal serta bangun sebelum masuk waktu subuh.
Warga emas itu mempunyai tujuh anak menerusi perkahwinan dengan tiga isteri (dua sudah meninggal dunia), 20 cucu, lebih 50 cicit serta empat piut (cucu kepada cucu).
Anak perempuannya Syukriah, 35, berkata, bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai penjual ikan masih mampu menguruskan diri sendiri walaupun bergerak secara mengengsot sejak dua tahun lalu.
"Dalam kad pengenalan, usia ayah dicatat 96 tahun sebab zaman dahulu kita hanya daftar sahaja, tetapi dia kata dia ingat pengalaman masa penjajahan Jepun dulu.
"Dia cuma ada masalah pendengaran, selain baru dua tahun guna cermin mata untuk membaca al-Quran," katanya.
-- BERNAMA