Lelaki tersepit, cedera dalam kemalangan lori dan treler muatan siling
Aida Aziz
Jun 22, 2022 07:00 MYT
Jun 22, 2022 07:00 MYT
TAPAH: Seorang pemandu lori cedera apabila lori muatan sejuk beku yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 319.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini lewat malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 malam.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bergegas ke lokasi dan mendapati terdapat dua mangsa dalam kemalangan itu.
"Seorang lelaki iaitu pemandu lori 5 tan muatan sejuk beku cedera, manakala seorang lagi lelaki iaitu pemandu treler muatan siling selamat," katanya dalam kenyataan pada pagi Khamis.
Katanya lagi pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Setelah itu, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Jasmin Shariff itu tamat pada jam 12.35 tengah malam.