Lelaki tersepit, 15 pelajar sekolah terselamat nahas lori dan bas sekolah
Aida Aziz
Julai 29, 2024 14:47 MYT
Julai 29, 2024 14:47 MYT
SUNGAI SIPUT: Seramai 15 pelajar terselamat dalam kemalangan membabitkan bas sekolah dinaiki mereka dengan sebuah lori di Kampung Nasib, Jalan Sungai Siput- Kuala Kangsar, dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, susulan nahas itu, pemandu lori satu tan itu cedera dan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
"Kejadian berlaku sekitar jam 6.38 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dan Kuala Kangsar bergegas ke lokasi.
"Pasukan menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Operasi yang diketuai PBK II Mohd Shamsul Baharin Sulaiman itu tamat jam 8.01 pagi.