Lelaki terselamat van terbabas, terbakar langgar tiang telekomunikasi
Aida Aziz
November 27, 2023 04:50 MYT
November 27, 2023 04:50 MYT
IPOH: Seorang pemandu lelaki berjaya menyelamatkan diri apabila van jenis Ford yang dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Charleton, Taman Cherry, di sini, lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai R Ranganathan, 58 tahun, yang melanggar tiang telekomunikasi lalu terbabas.
"Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.54 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah van telah terbakar sebanyak 90 peratus.
"Bagaimanapun, seorang mangsa lelaki berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaan itu setelah terbabas," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Justeru, katanya, ketua operasi melakukan konsep 'receo' dan memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula bersumberkan air dari jentera bomba.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhurazi Johari itu tamat pada jam 11.53 malam.