Lelaki terperangkap di seberang sungai akibat kepala air

Sinar Harian
September 19, 2021 07:02 MYT
Pihak bomba gunakan tali untuk menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di seberang sungai. -Foto Sinar Harian
BATANG KALI: Seorang lelaki terperangkap di seberang sungai akibat fenomena kepala air ketika mandi di sebatang sungai berhampiran sebuah pusat peranginan di Jalan Batang Kali-Genting, di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.40 petang mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai tujuh anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pada jam 4.08 petang.
"Laporan awal mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki berumur 30-an terperangkap di seberang sungai semasa mandi berikutan fenomena kepala air.
"Bagaimanapun, pihak bomba berjaya menyelamatkan mangsa tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
*Berita asal di Sinar Harian
#kepala air #mandi di sungai #Jalan Batang Kali-Genting #bomba
;