Lelaki terperangkap dalam tanah runtuh selamat

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 24, 2022 20:40 MYT
Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. - Gambar/ JBPM
KOTA TINGGI: Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas lebih empat jam terperangkap dalam tanah runtuh ketika melakukan kerja baik pulih loji kumbahan di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Bandar Penawar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 2.40 petang.
Katanya bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Penawar telah digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.
"Operasi menyelamat ini turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas syarikat panel kontraktor Indah Water Konsortium.
"Hasil siasatan yang dijalankan, seramai empat pekerja Syarikat Prospek Qaraeez (panel kontraktor Indah Water Konsortium) sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih loji kumbahan sekolah itu.
"Semasa kerja dijalankan, tanah di tepi tangki loji kumbahan telah runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa berusia 44 tahun terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang, manakala tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Masri Ibrahim berkata, pasukannya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Mangsa berjaya diselamatkan, seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya," katanya.
#tanah runtuh #Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi #loji kumbahan #tanah jerlus
;