Lelaki terlibat kes pecah rumah dan curi kenderaan ditahan

Bernama
Januari 14, 2018 00:28 MYT
Suspek yang berasal dari Alor Star itu bertindak keluar dari keretanya dan cuba melarikan diri serta berlaku pergelutan dengan polis sebelum berjaya ditahan. - Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di Bukit Tengah di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Permatang Tinggi kira-kira pukul 1 pagi telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dalam keadaan mencurigakan.
"Polis cuba menahan kereta dipandu seorang lelaki itu namun dia enggan memberhentikan kenderaan berkenaan malah terus memecut laju ke arah Jalan Besar Permatang Tinggi menghala ke kawasan Bukit Tengah.
"Polis bertindak mengejar kereta itu sebelum ia terbabas dan melanggar tembok di persimpangan Taman Pelangi 2 sehingga menyebabkan tayar depan sebelah kanan serta bahagian hadapan kereta itu pecah dan enjin juga rosak," katanya di sini pada Ahad.
Katanya lelaki berusia 35 tahun itu bertindak keluar dari keretanya dan cuba melarikan diri serta berlaku pergelutan dengan polis sebelum suspek yang berasal dari Alor Star, Kedah itu berjaya ditahan polis.
Nik Ros Azhan berkata pemeriksaan polis di dalam kereta dinaiki lelaki itu menemui pelbagai peralatan untuk memecah rumah dan curi kenderaan antaranya pemotong besi, besi panjang yang telah diubah suai, tukul dan pahat.
Selain itu, katanya polis juga merampas beberapa barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya televisyen, beg duit dan barangan elektrik serta pemeriksaan juga mendapati kenderaan yang digunakan lelaki itu adalah kereta yang dilaporkan hilang di Bayan Lepas baru-baru ini.
"Lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang merupakan anggota geng curi motosikal dan merampas sebuah motosikal curi serta pelbagai komponen kenderaan berkenaan.
Katanya lelaki itu ditahan di Jalan Permata, di sini kira-kira pukul 9.30 malam semalam dan polis turut merampas dadah jenis ganja bersama remaja yang tidak bekerja itu.
"Remaja terbabit bersama seorang lagi rakan yang identitinya telah dikenal pasti dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak enam bulan dan mereka meleraikan komponennya sebelum menjual kepada pembeli," katanya.
-- BERNAMA
#curi kenderaan #curi motosikal #Dadah #ganja #jenayah #Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid #pecah rumah #peralatan #polis #remaja #rondaan #Seberang Perai
;