Lelaki terlanggar kereta ditemui mati di PPR Pantai Dalam

Hakim Rahman
April 15, 2016 16:41 MYT
Mayat mangsa ditemui tertiarap dalam tempat duduk belakang kereta dipandunya kira-kira pukul 1.30 pagi. - Foto PDRM
Seorang lelaki maut dipercayai akibat dipukul oleh sekumpulan pelanggan gerai makan di kawasan kediaman PPR Pantai Dalam, di sini.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat itu, mangsa yang berusia 48 tahun itu dipercayai dipukul selepas kereta dipandunya terlanggar sebuah kenderaan yang diparkir di tepi sebuah gerai makan.
Mangsa dikatakan cuba beredar dari tempat kejadian tetapi telah dikejar sekumpulan pelanggan bermotosikal yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.
Mayat mangsa kemudiannya ditemui tertiarap di bahagian tempat duduk belakang kereta yang dipandunya kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor ketika mengesahkan penemuan mayat lelaki itu berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selepas disyaki dipukul dengan objek tumpul.
Menurutnya siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan kes kini disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#bunuh #Ketua Polis Daerah Brickfields #Pantai Dalam #PPR #Sharul Othman Mansor
;