Lelaki terkejut ular sawa batik 70 kg atas pokok durian

Sinar Harian
Disember 28, 2022 14:49 MYT
Ular sawa batik itu dibawa ke bilik gerakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).- Gambar Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang lelaki di Jalan Pengkalan Chepa, di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa batik seberat 70 kilogram (kg) yang 'bersembunyi' di atas sebatang pokok durian di rumahnya di sini pada Rabu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Bharu, Kapten (PA) Md Fadir Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.11 pagi daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Tan.
"Anggota yang bertugas telah memanjat pokok tersebut dan mengambil tindakan memotong dahan yang terdapat reptilia itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular sawa batik sepanjang tiga meter itu.
Ujarnya, ia telah dibawa ke bilik gerakan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#APM #ular sawa #Perhilitan #Kota Bharu
;