Lelaki terkandas di Myanmar: Polis Johor minta bantuan Bukit Aman, Interpol
Sinar Harian
Oktober 14, 2023 18:12 MYT
Oktober 14, 2023 18:12 MYT
ISKANDAR PUTERI: Polis Johor akan meminta bantuan daripada Bukit Aman serta Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha membawa pulang seorang lelaki warga Malaysia yang terkandas di Myanmar akibat ditipu sindiket penipuan pekerjaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, lelaki berasal dari Masai, Johor, berusia 33 tahun itu dipercayai telah mengikut seorang kenalannya ke Pulau Pinang, Rabu lalu.
Bagaimanapun katanya, ketika di Pulau Pinang lelaki berkenaan menyedari dirinya ditipu, namun dia perlu membayar RM72,000 jika mahu pulang ke Johor.
"Lelaki itu tidak dapat membuat bayaran tersebut dan akhirnya dia telah dibawa ke Thailand dan seterusnya ke Myanmar.
"Keluarga mangsa kemudiannya telah datang membuat laporan setelah dihubungi mangsa dan kita akan cuba minta bantuan bagi membawanya pulang semula ke negara ini," katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman mengingatkan orang ramai terutamanya kepada ibu bapa agar tidak terlalu ghairah apabila anak mereka menerima tawaran kerja di luar negara.
Katanya, tawaran berkenaan perlu diteliti kerana dikhuatiri ia merupakan tawaran kerja palsu daripada sindiket penipuan pekerjaan.
"Dari hari ke hari, kita terima laporan orang hilang, orang hilang wang dan sebagainya.
"Biasanya orang yang berfikir, saya tak akan kena scam... merekalah yang akan ditipu oleh scammer ini," katanya. - Sinar Harian