Lelaki terjun sungai lari dari polis ditemui lemas

Sinar Harian
Januari 27, 2024 15:22 MYT
Mayat suspek ditemukan oleh orang ramai yang mengunjungi Pantai Teluk Lipat, Dungun pada petang Jumaat. - Foto media sosial
GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang sebelum ini lari dari polis dan dipercayai bertindak terjun ke Sungai Dungun dekat Kampung Pulau Serai dekat sini pada pagi Khamis ditemukan lemas pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mayat suspek berusia 30 tahun itu ditemui kira-kira jam 6.38 petang oleh orang ramai yang mengunjungi Pantai Teluk Lipat dekat sini.
Menurutnya, mayat berkenaan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
"Mayat suspek ditemui terdampar di pantai itu, iaitu kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi dia terjun.
"Mayat berkenaan dikenal pasti berdasarkan pakaian yang dipakai ketika cubaan meloloskan diri dan kakak suspek juga telah membuat pengecaman," katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi pada Khamis, tiga suspek yang menaiki lori jenis Isuzu bertindak melarikan diri sebelum dikejar anggota polis sejauh kira-kira 100 kilometer.
Difahamkan, pihak polis berjaya memintas kenderaan dinaiki suspek berhampiran Kampung Pulau Serai dan telah menahan seorang suspek namun dua daripadanya bertindak terjun ke dalam sungai sekitar jam 6.55 pagi.
Menurut Maizura, pihak polis menemukan kabel milik Syarikat Telekom Malaysia (TM) sepanjang kira-kira 44.2 meter di belakang lori tersebut yang dipercayai dicuri suspek.
Beliau berkata, usaha memburu seorang lagi suspek berusia 34 tahun ketika ini sedang giat dilakukan.
"Kita minta kerjasama penduduk supaya segera menghubungi kami jika terlihat individu yang mencurigakan," jelasnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#lelaki terjun sungai #Sungai Dungun #larikan diri dari polis #George Town
;