Lelaki terjun jambatan ditemui lemas
Ifti Femida
Mei 10, 2022 12:00 MYT
Mei 10, 2022 12:00 MYT
TEMERLOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad lepas selepas disyaki terjun dari Jambatan Songsang, Sungai Semantan di sini ditemui lemas pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Temerloh, Penolong Penguasa Bomba Syed Mohsen Tuan Ismail berkata, mangsa, Mohamad Hanizam Md Khalisb, 30, yang dipercayai mempunyai masalah gangguan mental, ditemui oleh orang awam pada jam 9.01 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa terjun.
"Mayat mangsa ditemui berhampiran sangkar ikan milik penduduk kampung. Sejurus menerima maklumat berkenaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke tempat kejadian bagi membantu membawa mangsa ke tempat selamat.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi SAR tamat pada jam 9.33 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai telah terjun dari jambatan terbabit kira-kira jam 11 pagi pada Ahad berdasarkan penemuan selipar dan motorsikal mangsa di tempat kejadian.
Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dengan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin serta Pasukan K9 telah menggerakkan operasi SAR dengan melakukan 'surface searching' dan membuat selaman.
Operasi SAR ini juga mendapat bantuan dari pelbagai agensi termasuk pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung dengan radius sepanjang lima kilometer.