Lelaki terjun jambatan dipercayai alami tekanan perasaan - Polis

Astro Awani
Januari 22, 2019 17:04 MYT
Lelaki yang terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dipercayai mengalami tekanan perasaan. -Astro AWANI
Lelaki yang terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) pada pagi Selasa dipercayai mengalami tekanan perasaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Suprintendan A.A. Anbaalagan dalam satu kenyataan berkata hasil temu bual bersama rakan dan kakak ipar mangsa mendapati lelaki itu telah bertengkar dengan isterinya.
Kata Anbalagan, lelaki berusia 33 tahun dan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat logistik itu mengalami tekanan apabila isterinya meminta cerai.
Mangsa yang tertekan mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun ke laut.
Bagaimanapun lelaki tersebut berjaya diselamatkan dengan bantuan bot nelayan yang berada di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, seorang lelaki bertindak terjun ke laut di kilometer 12.2, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menuju ke Batu Kawan.
Ketika terjun, lelaki berkenaan turut membuat rakaman video secara langsung.
Melalui rakaman video itu, kelihatan seorang lelaki yang berpakaian kemas memberhentikan kenderaan di atas jambatan sebelum memanjat tembok dan terjun.
Mangsa yang terselamat kemudiannya dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin di Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Anbalagan berkata lelaki itu kini dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
#Anbaalagan #Hospital #jambatan sultan abdul halim muadzam shah #JSAHMS #tekanan perasaan #terjun jambatan
;