Lelaki terjatuh dalam Sungai Perak ditemui lemas

Abd Razak Mohd Ali
Mac 26, 2022 20:33 MYT
Mayat Kek Kai Chung, 42, ditemui jam 5.25 petang dalam keadaan terapung kira-kira 50 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh. - Gambar/ JBPM
TELUK INTAN: Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Perak di Jambatan Batu 5, dekat sini, semalam, ditemui lemas hari ini.
Mayat Kek Kai Chung, 42, ditemui jam 5.25 petang dalam keadaan terapung kira-kira 50 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa ditemui anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan yang menyertai operasi pencarian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini, hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.59 pagi semalam.
Sebanyak enam buah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Operasi turut dibantu empat anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PDPA) Teluk Intan.
#lemas #sungai perak #Teluk Intan #lelaki hilang
;