Lelaki tergelincir ketika memunggah barang ditemukan lemas
Missel Ernie Bick
Ogos 21, 2023 17:35 MYT
Ogos 21, 2023 17:35 MYT
SIBU: Seorang lelaki yang terjatuh ke Sungai Rajang ketika memunggah barang pada Sabtu di Jalan Khoo Peng Loong, di sini, ditemukan lemas hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, mayat mangsa dijumpai orang awam kira-kira 9.6 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini bermula seawal jam 7 pagi dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sekitar radius 1 kilometer.
"Pada jam 8:40 pagi ketua operasi melaporkan satu mayat telah dijumpai oleh orang awam di Batang Igan kira-kira 9.6 km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
"Sebaik sahaja berjaya dinaikkan dari permukaan sungai, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengesahan ahli keluarga mangsa di Hospital Sibu," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang dikenali sebagai Hii Kee Soon, 48, dilaporkan terjatuh ke Sungai Rajang ketika memunggah barang dari bot ekspres Daro ke sebuah bot lain pada jam 12.26 tengah hari Sabtu lalu.
Semasa kejadian, mangsa yang memakai baju dan seluar hitam itu dilapor tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu tenggelam.