Lelaki terbunuh kereta dilanggar lori sampah
Bernama
Ogos 5, 2018 21:02 MYT
Ogos 5, 2018 21:02 MYT
Seorang lelaki maut, tiga cedera dan dua lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Azmi Hassan, 27, dari Taman Mewah Indah, Klang, Selangor maut di tempat kejadian selepas cedera parah.
Tiga lagi mangsa yang merupakan penumpang kereta dipandu Mohamad Azmi sekadar cedera dan telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan manakala dua lagi mangsa pula yang masing-masing merupakan pemandu lori sampah dan sayur terselamat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ashmon Bajah yang dihubungi berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan sampah itu hilang kawalan sebelum melanggar kereta yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.
Pelanggaran itu kemudian turut menyebabkan sebuah lori sayur terbabas ke tepi jalan kerana dipercayai hendak mengelak kedua-dua kenderaan terbabit.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Mohamad Shahfain Mattusar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian pada pukul 11.03 pagi sebelum bergegas menghantar empat anggota dan sebuah jentera ke lokasi.
"Setibanya di sana, mangsa didapati tersepit di bahagian tempat pemandu namun telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya. -- Bernama