Lelaki tak berbaju ditemui mati dengan perut terburai, 6 ditahan

Bernama
Februari 9, 2019 09:57 MYT
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging berukuran 33.5 sentimeter di atas meja di bahagian dapur dengan kesan darah. - Gambar hiasan
Enam pekerja restoran ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar di sebuah premis rumah kedai di Lukut di sini, dalam kejadian pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua suspek yang juga merupakan warga Myanmar berusia 20-an itu ditahan kira-kira 4.30 pagi tadi dan dipercayai cuba melarikan diri.
Katanya pada 2.30 pagi, anggota Balai Polis Lukut menerima maklumat awal daripada orang awam menyatakan ada berlaku pergaduhan melibatkan warga asing di tingkat dua berdekatan sebuah bank di Lukut.
Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, pihak polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring di pintu utama dengan hanya berseluar dan terdapat kesan luka dipercayai akibat tikaman dengan perutnya sudah terburai.
"Mangsa yang tiada sebarang dokumen itu hanya dikenali dengan panggilan Alliang berusia 20-an," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Aidi Sham berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging berukuran 33.5 sentimeter di atas meja di bahagian dapur dengan kesan darah.
"Beberapa barang bukti di tempat kejadian dirampas antaranya pakaian dan tin minuman kosong dipercayai botol arak dan kita guna khidmat unit anjing pengesan K9 untuk mengesan suspek.
"Hasilnya kira-kira 4.30 pagi, seorang suspek ditahan di sebuah premis di Kampung Kuala Lukut yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer dari lokasi kejadian. Polis turut mengesan lima lagi suspek di kawasan sekitar. Mereka cuba melarikan diri kerana ada antara mereka membawa beg pakaian," katanya.
Aidi Sham berkata berdasarkan soal siasat ke atas suspek, pergaduhan dipercayai berpunca daripada isu di kampung halaman mereka.
"Isu itu kemudiannya membawa kepada pergaduhan sehingga berbunuh. Kita percaya mereka juga berada dalam keadaan mabuk memandangkan tin-tin bekas minuman keras yang dijumpai di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata seorang suspek ditahan itu mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), manakala yang lainnya hanya memiliki kad pelarian 'Alliance of Chin Refugees (ACR)' dan kesemua mereka direman tujuh hari bermula hari ini.
-- BERNAMA
#bunuh #Lukut #mangsa #Myanmar #polis #Port Dickson #siasatan #suspek #warga asing