Lelaki tahan sakit nat sangkut di jari
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 20, 2021 12:25 MYT
Oktober 20, 2021 12:25 MYT
KUALA NERANG: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam apabila nat skru yang disarung ke jari hantu tersangkut dan tidak dapat ditanggalkan.
Mangsa berusia 22 tahun itu menyarungkan gegelang besi tersebut di rumahnya di sini, sekitar pukul 8 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang menerima panggilan dari Unit Kecemasan Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk memotong nat yang tersangkut pada jari seorang lelaki pada pukul 8.55 pagi.
Beliau berkata, seorang pegawai bersama lima anggota dikejarkan ke HKN.
"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan nat itu masih tersangkut pada jari hantu tangan kiri mangsa usaha untuk memotong dilakukan.
“Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir 30 minit sebelum nat itu dapat dipotong dengan menggunakan alat pemotong cincin (ring cutter)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan serius pada mangsa.
Mangsa kemudiannya menerima rawatan lanjutan di hospital berkenaan bagi merawat jari yang makin membengkak.