Lelaki selamatkan jiran dalam kebakaran meninggal dunia
Sinar Harian
Januari 24, 2024 16:25 MYT
Januari 24, 2024 16:25 MYT
LABUAN: Lelaki yang sanggup bergadai nyawa meredah api menyelamatkan keluarga jirannya dalam kebakaran rumah di Taman Merinding, di sini pada Khamis, disahkan meninggal dunia.
Mangsa, Gillian Donald, 41, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat sesak nafas dipercayai disebabkan terhidu asap yang berlebihan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran melibatkan rumah teres dua tingkat.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati terdapat tujuh penghuni rumah berusia empat hingga 67 tahun berjaya diselamatkan oleh jiran mereka.
"Bagaimanapun, ketika kejadian lelaki tersebut berasa letih dan tidak bermaya lalu pengsan. Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah diberikan, namun gagal dan seterusnya dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.
"Lelaki tersebut kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 6.10 pagi disyaki mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu bau asap yang berlebihan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan didapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa, namun siasatan lanjut diteruskan.
"Hasil siasatan pihak bomba juga mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada kereta milik mangsa yang di parkir di hadapan rumah dan seterusnya merebak ke dalam rumah," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, Gillian bertindak menyelamatkan jirannya yang terperangkap dalam kebakaran.
Bagaimanapun, Gillian tidak sedarkan diri dan diselamatkan oleh jiran yang lain manakala seorang lagi penghuni, Nayomi Noemirogy Pang, 14, melecur di bahagian kaki.
Kedua-duanya mereka kemudian dihantar ke Hospital Labuan dengan segera bagi mendapatkan rawatan lanjut. - Sinar Harian