Lelaki sama buat hal lagi! Kali ini berenang rentasi Selat Pulau Pinang untuk ke Mekah pula
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 3, 2021 17:28 MYT
Ogos 3, 2021 17:28 MYT
GEORGE TOWN: Bulan lalu, tular kisah seorang lelaki yang sanggup berenang dari jeti Tanjung City Marina, George Town menuju ke Seberang Perai dengan alasan ingin bertemu rakan.
Namun semalam, individu sama mengulangi perbuatan itu dengan alasan ingin ke Tanah Suci Mekah pula.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perbuatan lelaki berusia 28 tahun itu tular di media sosial apabila dia diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin Pulau Pinang.
Katanya, lelaki itu ditemui terapung di tengah laut oleh orang awam sekitar pukul 4.55 petang yang kemudiannya bertindak menghubungi polis.
Menurut Soffian, anggota polis berkenaan kemudiannya menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah Wilayah 1 Batu Uban bagi membantu menyelamatkan lelaki berkenaan.
“Hasil siasatan awal serta pemeriksaan lanjut mendpati lelaki berkenaan merupakan lelaki yang sama dalam kejadian yang dilaporkan terdahulu dan kali ini alasan yang diberikan adalah untuk berenang pergi ke Tanah Suci Mekah” jelas Soffian dalam kenyataan pada Selasa.
Susulan kejadian itu, polis telah membawa lelaki berkenaan ke hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental.
Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif dan lelaki berkenaan kini ditempatkan di wad Psikiatrik Jalan Perak, George Town untuk rawatan lanjut.
Pada 12 Julai lepas, lelaki tersebut pernah diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn Bhd selepas ditemui terapung di tengah laut.
Dia mengaku berbuat demikian dengan alasan ingin bertemu rakan di Seberang Perai selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah.
Hasil penilaian pihak hospital juga mendapati lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang masalah mental.