Lelaki rugi RM124,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama
Oktober 4, 2024 22:22 MYT
Yusof berkata mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa skim pelaburan menggunakan aplikasi dikenali L-Trader menawarkan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit. - Gambar hiasan/Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Lelaki warga tempatan kerugian RM124,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa skim pelaburan menggunakan aplikasi dikenali L-Trader menawarkan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit.
Beliau berkata mangsa melihat iklan di laman Facebook pada Mei lepas dan modus operandi sindiket dengan memberikan mangsa satu ID yang membolehkannya memantau sendiri status pulangan pelaburan di aplikasi berkenaan.
"Pada awalnya, mangsa mendapat keuntungan hasil melabur sebanyak RM55,000 dan diyakinkan untuk menambah pelaburan hingga RM124,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang telah melakukan 21 transaksi wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza, menyedari telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM9 juta seperti dipaparkan di aplikasi berkenaan.
Yusof berkata mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.
-- BERNAMA
#laman sosial #pelaburan #sindiket #laporan polis
;