Lelaki rogol anak kandung hingga lahir dua anak
Sinar Harian
Mei 5, 2024 09:15 MYT
Mei 5, 2024 09:15 MYT
PORT DICKSON: Seorang bapa tergamak melakukan sumbang mahram dengan merogol anak perempuannya sejak lapan tahun lalu sehingga melahirkan dua orang anak.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan suspek berusia 40-an itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 20 tahun membuat laporan polis jam lebih kurang 11.11 malam, Rabu lalu.
"Mangsa memaklumkan telah dirogol oleh bapa kandungnya sejak berumur 12 tahun malah kejadian ini pernah diceritakan kepada ibunya.
"Bagaimanapun ia tidak diendahkan walaupun mangsa telah melahirkan dua orang anak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Aidi Sham, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 sehinggalah kejadian terbaharu pada tahun ini.
"Kesemua kejadian rogol itu berlaku di dalam bilik iaitu di rumah mereka di Kampung Chuah, Port Dickson di sini.
"Hasil perbuatan sumbang mahram itu mangsa telah melahirkan dua orang anak yang mana seorang meninggal dunia ketika dilahirkan dan seorang lagi kini berusia tiga tahun.
"Susulan laporan polis tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas suspek lelaki dan isterinya yang berusia 40-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson jam lebih kurang11.40 pagi Jumaat," katanya.
Katanya, hasil semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki yang bekerja kampung dan suspek wanita itu masing-masing mempunyai rekod berkaitan kes dadah.
"Suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban dan ditahan reman selama lima hari bermula Sabtu hingga 8 Mei depan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan," katanya. - Sinar Harian