Lelaki rentung terperangkap dalam kebakaran rumah di Kuala Kangsar
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2024 09:00 MYT
Ogos 29, 2024 09:00 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Kampong Baru Liman Kati, dekat sini, awal pagi ini.
Mayat lelaki berusia 36 tahun itu ditemui di bahagian ruangan dapur rumah tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.10 pagi tadi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
“Setibanya jentera sampai ke lokasi kejadian, keadaan api sedang marak membakar keseluruhan rumah kelas C berukuran 20 x 80 kaki persegi musnah terbakar sebanyak 90 peratus.
“Terdapat seorang lelaki berbangsa Cina berumur 36 tahun telah terperangkap di dalam rumah dan ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruangan dapur rumah tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau berkata, komander operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman dengan menggunakan tiga aliran hos 100 kaki air dari tangki jentera dan pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudianya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang turut dibantu pasukan dari BBP Lenggong diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakaria.