Lelaki rentung separuh badan, kereta terbabas di Batu Uban

Astro Awani
Mac 5, 2017 16:42 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat seorang lelaki yang rentung selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandunya hangus terbakar dalam kejadian kira-kira pagi tadi berhampiran Batu Uban hari ini. - Foto Bernama -
Seorang lelaki maut dengan separuh bahagian badannya rentung akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, berdekatan bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Batu Uban di sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Oh Chun Guan, 25, dari Lorong Amoy, George Town memandu kereta jenis Proton Saga seorang diri dari arah Bayan Lepas menuju ke arah pusat bandar.
Dia dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan di kawasan kejadian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al- Atrash berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaannya dan gagal menyelamatkan diri selepas keretanya terbakar.
"Kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh pokok mengakibatkan kereta jenis Proton Saga itu terbakar. Mangsa cuba menyelamatkan diri, bagaimanapun terperangkap ketika api sedang marak membakar keretanya," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, pasukan Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya.
Mayat mangsa di bawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) JPJ 1987.
#batu uban #George Town #Kemalangan rentung #kereta terbabas #mayat #pulau pinang
;